Kristianisasi: Tatkala Kita Leka
Tatkala kita leka, dibuai mimpi indah,
Kita merasa cukup selesa..
Nyanyian, hiburan, budaya…
Kita hidup penuh bahagia dan gembira..
Tapi kita lupa..
Bila manusia mencari Pencipta
Hati tertanya-tanya..
Siapakah Tuhan Kita?
Kemudian datanglah mereka,
Barulah kita kata ini salah mereka….?
Sedangkan kita???
Mana sumbangan pada agama?
Kononnya sibuk menuntut ilmu,
Agar adalah kerja dan harta di hari sana..
Itulah kita..
Suka sangat membela apa yang salah…
Apalah harga manusia..
kiranya tiada nilai perjuangan dakwah..
Kita ini cukup hina sebenarnya
Pedih Yang Berganti
Menahan kepedihan perasaan itu lagi payah daripada menahan kesakitan badan. Telefon yang tidak berhenti berdering diselangi dengan mesej-mesej daripada sahabat-sahabat yang berjuang di arena GEMPUR menemui adik-adik baru yang juga bakal pejuang-pejuang Islam kampus. Aku dengar, semua banner habis dikoyak dan dikerjakan oleh mereka yang kurang faham akan makna agama yang sebenar. Agak-agaknya mungkin, itulah tradisi baru di zaman pemerintahan Suami kepada Perempuan Puaka ini. Apakah mereka tidak pernah merasa geli dan hina dengan memakan wang daripada gaji dengan kerja dan perbuatan yang kotor ini? Sehinggakan sanggup melihat anak menyuap nasi ke dalam mulut dengan sumber pekerjaan yang sangat-sangat jijik dan hina di sisi agama.
Agak dengki dan iri hati, sehinggakan adakalanya aku tidak sanggup untuk menyambut panggilan, bagai aku ini meninggalkan kerja-kerja yang menjadi tanggungjawabku.
Alhamdulillah, walaupun luka ini belum kering. Aku sudah mampu berjalan dengan agak laju. Satu berita gembira daripada adik kesayanganku. Hampir setahun dia menyatakan hasrat ingin memeluk agama Islam. Jiwa ini tidak pernah tenteram di sepanjang tempoh dirinya membuat pilihan. Dihiasi dengan dugaan-dugaan daripada para manusia. Alhamdulillah, sekarang ini dalam proses pertemuan dan perbincangan dengan seorang sahabat di Kota Kinabalu. Semoga akan tercapai niat sucimu wahai adikku… Benar, aku sangat risau dan bimbang, apakah yang berlaku ke atas dirinya kini, mahu sahaja aku balik untuk menguruskannya. Namun, hanya kerana cuti yang semakin pendek dan duit kiriman ibu yang hanya tinggal RM100.oo ini. Aku menjadi serba salah.
Dia menyatakan dirinya untuk ingin belajar bersungguh-sungguh untuk mendalami agama Islam. Aku sangat-sangat terharu….terasa sebak dan tidak tahu berkata apa. Rindu akan suasana dan semangatku yang berkobar-kobar ketika awal mengenali agama ini, mungkin begitulah yang dialaminya. Insyaallah, adikku akan ku cuba sedaya yang ku mampu untuk terus membantu.
Teringat ketika adik melihatku membuang salib di atas jendela, kamu memarahi dan menegurku ketika itu. Mungkin selepas ini kamu akan faham wahai adikku. Kamu akan faham mengapa hidupku tidak lagi seperti dulu.
Bagiku, ini adalah satu anugerah yang cukup besar daripada Tuhan!
Ada beberapa individu yang cuba untuk menghalang dan mengganggu….
Biasalah begitu adikku, itulah antara dugaan kalau kamu ingin beriman wahai adikku. Nanti kamu akan mengenangnya sebagai satu kenangan yang sangat indah…
Manisnya iman, kerana pedihnya pengorbanan….Pahitnya perjuangan kerana manisnya syurga. Tiada keindahan, melainkan kita akan tersenyum di hadapan Tuhan di akhirat nanti wahai adik kesayanganku..Akan ke pimpin tanganmu dengan senyuman. Selamat datang wahai adik kesayanganku…
P/s: Mohon doa dari kalian agar mendoakan proses pengislaman buat adik permpuanku , berumur 21 tahun, yang bernama Low Mee Han agar segalanya akan berjalan dengan lancar.
Demonstrasi: Penilaian Pada Perspektif Islam
Secara umumnya, aktiviti menzahirkan aspirasi di dalam Islam adalah perkara yang dibolehkan (mubah). Hukumnya sama seperti kita mengungkapkan pandangan tentang suatu perkara.
Berbeza dengan ‘demonstrasi liar’ (Muzarahah) yang jelas diharamkan oleh Islam seperti melakukan demonstrasi dengan disertai beberapa aktiviti yang menyalahi tata susila agama seperti mengganggu lalu-lintas, merosak atau membakar harta benda awam, mengganggu ketenteraman dan sejenisnya sehingga mengakibatkan rusuhan,penganiayaan dan pembunuhan. Pengharamannya didasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi ini terdapat sejumlah tindakan yang diharamkan oleh Islam.
Di dalam Islam, ‘demonstrasi aman’ (Masiirah) adalah satu bentuk demonstrasi yang dibolehkan. Ini berdasarkan kenyataan bahawa ia dilakukan dengan tertib dan aman serta mematuhi hukum-hukum syara’ termasuk berkaitan dengan pendapat atau aspirasi yang disampaikan. Ia dilakukan tanpa kekerasan, tidak mengganggu lalu-lintas dan tidak merosakkan hak-hak umum, negara atau individu. Oleh yang demikian, Masiirah ini jelas-jelas diperbolehkan oleh Islam.
Jika diteliti sirah Rasulullah salallahualaihi wasalam, Baginda tidak pernah menggunakan demonstrasi aman sebagai cara mengubah masyarakat Jahiliyyah di kota Makkah menjadi masyarakat Islam. Namun, Baginda pernah melakukan demonstrasi aman di kota Makkah. Peristiwa ini terjadi setelah Nabi sallallahualaihi wasalam diperintahkan oleh Allah Taala supaya berdakwah secara terang-terangan. lalu Baginda memerintahkan kaum Muslimin keluar membentuk 2 barisan menuju Kaabah. Satu barisan dipimpin oleh Umar al Khattab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Rasulullah mengetuai kelompok tersebut dan berdakwah kepada mereka secara terang-terangan. Masiirah ini juga dilakukan oleh baginda untuk menzahirkan kutlah (kelompok) kaum Muslimin yang selama ini telah ditasqif (dibina) secara sembunyi-sembunyi khasnya di rumah al Arqam ibnu al Arqam.
Perlu difahami bahawa Islam memandang Masiirah sebagai salah satu cara (uslub) di antara berbagai cara pengungkapan aspirasi atau pendapat dan bukan sebagai matlamat di dalam melakukan proses perubahan masyarakat.
Banyak perkara yang wajib diambil berat oleh umat Islam untuk mencontohi Rasulullah. Contohnya, method Rasulullah mengumpulkan manusia dan menzahirkan pembawaan dakwah di dalam menegakkan kalimah tauhid. Uslub adalah suatu yang boleh berubah-ubah dan pelbagai sifatnya asalkan tidak bertentangan dengan hukum syara’. Apabila keadaan memerlukan, Masiirah boleh dilakukan dan sebaliknya jika tidak patut ditinggalkan dan ia sesuai dengan keharusannya. Betapa mulianya aktiviti amar makruf nahi mungkar ini telah dijelaskan Rasulullah salallahualaihi wasalam di dalam sabdanya; “..Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya..” [HR al Hakim].
Dalam menasihati dan mengkritik dasar yang zalim, termasuk membongkar kemungkaran atau konspirasi jahat terhadap Islam adalah wajib meskipun caranya berbagai-bagai. Sama ada dilakukan secara langsung bertemu face to face, melalui penulisan, seminar dan kuliyyah seangkatan dengannya, demonstrasi aman dan lain-lain lagi. Melakukan perkara-perkara tersebut dengan cara yang dibenarkan oleh syara’ sama ada secara langsung atau tidak adalah jelas lebih mulia berbanding dengan tidak melakukan apa-apa sambil mengeji dan menghina orang lain yang bersemangat melakukannya.
Islam tidak mengenal prinsip dan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ (al-ghaayah tubarriru al wasilah), sebagaimana yang difahami masyarakat Yahudi. Tindak-tanduk seorang Muslim sebagai individu, sebagai anggota masyarakat atau sebagai penguasa wajib terikat dengan syariat Islam. Di dalam mengungkap aspirasi dengan cara berdemonstrasi, kaum Muslimin terikat dengan apa yang Rasulullah telah perkenankan iaitu demonstrasi mestilah dilakukan dengan cara yang aman.
Rujukan: Mohd Idwan Khannan – Dikemaskini (Selasa, 19 Disember 2006)
Membacalah Selalu
Algeria Ben Malik pernah berpesan kepada kita “Masyarakat tanpa idealisme adalah masyarakat yang jumud” Menilai akan kata-kata ini dalam perspektif mahasiswa, maka boleh disamakan, mahasiswa yang tidak mempunyai idealisme adalah mahasiswa yang berfikiran jumud.
Stephen Covey dalam bukunya “The Seven Habits Of Highly Effective People” mengatakan “Sebahagian besar dari perkembangan mental kita dan disiplin pengajian kita berasal dari pendidikan formal.Akan tetapi setelah meninggalkan disiplin external sekolah, kebanyakkan daripada kita membiarkan otak terhenti pertumbuhannya. Kita tidak lagi membaca secara serius, menyebabkan kita tidak berfikir secara analitis” Pendapat ini menjadi satu realiti kehidupan warga kampus Malaysia pada hari ini. Tidak perlu melihat kepada bangsa ataupun penganut agama lain, yang menyedihkan ia berlaku kepada golongan mahasiswa Islam sendiri.
Ramai berpendapat ini merupakan kelemahan yang berpunca daripada sistem pendidikan Negara kita yang lebih bercorakkan “Exam Oriented” rather than “Knowledge based oriented” akan tetapi sejauh manakah mahasiswa berusaha untuk mendominasi keadaan, dengan berusaha untuk tidak terus terperangkap dengan situasi sebegini rupa? Mahasiswa sering menyalahkan suasana, sedangkan mereka sendiri tidak bergerak untuk mengubah diri mereka sendiri terlebih dahulu. Bukti yang paling jelas untuk memperlihatkan akan kejayaan satu umat itu berpunca daripada membaca ialah seperti apa yang kita saksikan sekarang ini, iaitu keunggulan umat Kristian di barat dan juga kecemerlangan umat Buddha di Jepun. Dengan reality ini, adakah masih perlu untuk kita menyalahkan sistem “Exam Oriented” ini semata-mata? Ataupun sebenarnya kita perlu bermuhasabah kembali berapa banyakkah sudah kitab ataupun buku yang sudah habis dibaca oleh kita selama ini? Jangan dikatakan buku, malahan Kitab Al Quran dan Hadith Nabi pun sudah mula menjadi perhiasan bilik, rumah, surau dan masjid semata-mata pada masa kini. Aduhai saudaraku, bangkitlah kita dari mimpi lena kejahilan ini!
Manusia yang genius lahir daripada manusia yang rajin membaca. Ingatlah, mahasiswa yang malas membaca akan menjadi petaka kepada agama, bangsa dan Negara. Sekiranya seorang anak itu malas untuk membaca dan menuntut ilmu, jangan hairanlah sekiranya ia menderhaka kepada kedua ibu bapanya. Dalam sebuah kisah, seorang anak pernah memukul ayahnya, kemudian ayahnya mengadukan perkara itu kepada seorang ‘alim. Orang ‘alim itu menjawab: “Sudahkah anda mengajarkannya ilmu dan adab?” “Tidak”, jawab si ayah itu. Orang ‘alim tersebut menjawab “Kalau begitu, sebaiknya anda memaafkan perbuatan anak anda itu, kerana dia mengira anda seekor lembu lalu dia memukul anda!” Melalui kisah ini, digambarkan betapa seorang ayah yang jahil, boleh diumpakan seekor lembu sehingga boleh dibelasah oleh anaknya sendiri dengan sebegitu rupa…
Jiwa Sempit
Tidak dinafikan ramai jiwa manusia yang sering merasa sempit, walaupun sudah memiliki itu dan ini, namun masih lagi tidak mencapai ketenangan apatah lagi merasai nikmat kebahagian. Jiwa bercelaru, penuh dengan tekanan dan tidak tentu arah, pada zahirnya manusia lain melihat akan kesenangan dan kekayaannya, namun pada hakikatnya jiwanya tidak pernah merasa aman dan tenteram. Tatkala hidup begini apakah kita lupa firman Allah dalam Al Quran:
“ Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” (Thaahaa: 124)
Ketenangan itu kurnia daripada Allah s.w.t, mustahil bagi seseorang itu merasa bahagia tanpa kurniaan daripada Tuhan yang menciptakan kebahagian dan ketenangan.
3 komen