Bila Hilang Asas Pertimbangan
2.19 am, masih lagi tidak dapat melelapkan mata, merenung sejenak ke dalam diri. Sambil terkenangkan masalah yang melanda Ust. Asri. Entahlah, asyik terkenangkan isu ini yang masih bermain-main di ruangan fikiran. Buku Keberkesanan Sekolah, masih lagi belum habis dibaca lagi.
Melalui situasi ini, saya terfikir akan kedudukan yang tidak selamat bagi mereka yang lantang dan berpendirian tegas dalam sesuatu pendapat.
Dendam, tidak puas hati, rasa dia sahaja betul, risau hilang pengaruh, macam-macam boleh jadi. Saya teringat nasihat pengetua sekolah saya dahulu Tn. Haji Khairul Anuar, ketika mengadu sikap segelintir pelajar di sekolah.
Jawapannya cukup mudah, ” Manusia mana yang suka bila ditegur?”
Dale Carnegie dalam sebuah bukunya How To Win Friend & Influence People juga ada menasihati agar jangan membuat percanggahan dengan orang lain untuk kita membina pengaruh.
Hal ini adalah kerana, berdebat ataupun berlawan hujah, memang akan membuatkan kita berpuas hati, kerana berjaya mematahkan serangan daripada seseorang itu. Namun, pada dasarnya kita sebenarnya menyebabkan orang itu menjadi tidak berapa selesa dan sehaluan dengan kita. Akhirnya pengaruh kita semakin kurang, lebih kurang begitulah ulasannya.
Pakar psikologi seluruh dunia bersependapat bahawa manusia memang suka bercerita tentang dirinya, namun sangat benci bila dirinya dikritik walaupun perkara itu benar.
Mungkin itulah realiti yang berlaku ketika ini, apabila faktor ilmiah sudah tidak menjadi asas kepada pertimbangan dalam melakukan sesuatu kesimpulan.
Dr. Maza: Akhirnya Dirimu Ditangkap Jua..
Sekali lagi ruangan ini bersawang akibat keasyikan dek kesibukkan menguruskan kerja-kerja hidup di alam fana ini. Mohon kemaafan dariku..
Selang beberapa hari ini, perasaan agak sedih melihat penangkapan ust. Asri Mantan Mufti Perlis yang dahulunya disanjungi masyarakat, hatta mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada kerajaan. Namun kini ibarat habis madu, sepah dibuang, malah diseret ke muka pengadilan yang masih keliru dan celaru. Alasannya cukup mudah, memberi ceramah tanpa tauliah, Itu kenyataan yang dikeluarkan oleh JAIS. Sekarang ini, mungkin kerja JAIS tangkap orang bagi ceramah pula, mungkin sudah bosan menangkap pelacur-pelacur yang berpeleseran, anak-anak muda yang bersedudukan, ajaran-ajaran sesat yang berleluasa, pusat-pusat judi dan arak, hiburan yang tumbuh ibarat industri cendawan yang diperkenalkan oleh Industri Asas Tani kerajaan Malaysia. Maka ini adalah satu kerja yang berpotensi tinggi untuk menjahanamkan agama sendiri.
Adakah hanya kerana masalah khilafiah ilmu seperti doa Qunut, seorang ulama itu boleh dilabel sebagai sesat?
Saya teringat kisah Nabi Musa dan pengikutnya yang dikejar Firaun yang akhirnya ditenggelami air di laut mati Jordan.Imam-imam di masjidil Haram yang ditangkap oleh kerajaan Arab Saudi selepas sahaja selesai membaca doa. Ulama tersohor, Sheikh Awad Al Qarni yang ditangkap oleh kerajaan Arab Saudi tanpa sebarang perbicaraan hanya kerana menyeru umat Islam menyerang warga Israel di seluruh dunia sebagai balasan terhadap serangan Israel ke atas semenanjung Gaza. Penangkapan Syed Qutb pemimpin Ikhwanul Muslimin penulis buku Suara Sepanjang Zaman, yang akhirnya syahid di tali gantung.
Jangan takut untuk berkata benar, jika kita insan yang beriman.
Demonstrasi: Penilaian Pada Perspektif Islam
Secara umumnya, aktiviti menzahirkan aspirasi di dalam Islam adalah perkara yang dibolehkan (mubah). Hukumnya sama seperti kita mengungkapkan pandangan tentang suatu perkara.
Berbeza dengan ‘demonstrasi liar’ (Muzarahah) yang jelas diharamkan oleh Islam seperti melakukan demonstrasi dengan disertai beberapa aktiviti yang menyalahi tata susila agama seperti mengganggu lalu-lintas, merosak atau membakar harta benda awam, mengganggu ketenteraman dan sejenisnya sehingga mengakibatkan rusuhan,penganiayaan dan pembunuhan. Pengharamannya didasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi ini terdapat sejumlah tindakan yang diharamkan oleh Islam.
Di dalam Islam, ‘demonstrasi aman’ (Masiirah) adalah satu bentuk demonstrasi yang dibolehkan. Ini berdasarkan kenyataan bahawa ia dilakukan dengan tertib dan aman serta mematuhi hukum-hukum syara’ termasuk berkaitan dengan pendapat atau aspirasi yang disampaikan. Ia dilakukan tanpa kekerasan, tidak mengganggu lalu-lintas dan tidak merosakkan hak-hak umum, negara atau individu. Oleh yang demikian, Masiirah ini jelas-jelas diperbolehkan oleh Islam.
Jika diteliti sirah Rasulullah salallahualaihi wasalam, Baginda tidak pernah menggunakan demonstrasi aman sebagai cara mengubah masyarakat Jahiliyyah di kota Makkah menjadi masyarakat Islam. Namun, Baginda pernah melakukan demonstrasi aman di kota Makkah. Peristiwa ini terjadi setelah Nabi sallallahualaihi wasalam diperintahkan oleh Allah Taala supaya berdakwah secara terang-terangan. lalu Baginda memerintahkan kaum Muslimin keluar membentuk 2 barisan menuju Kaabah. Satu barisan dipimpin oleh Umar al Khattab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Rasulullah mengetuai kelompok tersebut dan berdakwah kepada mereka secara terang-terangan. Masiirah ini juga dilakukan oleh baginda untuk menzahirkan kutlah (kelompok) kaum Muslimin yang selama ini telah ditasqif (dibina) secara sembunyi-sembunyi khasnya di rumah al Arqam ibnu al Arqam.
Perlu difahami bahawa Islam memandang Masiirah sebagai salah satu cara (uslub) di antara berbagai cara pengungkapan aspirasi atau pendapat dan bukan sebagai matlamat di dalam melakukan proses perubahan masyarakat.
Banyak perkara yang wajib diambil berat oleh umat Islam untuk mencontohi Rasulullah. Contohnya, method Rasulullah mengumpulkan manusia dan menzahirkan pembawaan dakwah di dalam menegakkan kalimah tauhid. Uslub adalah suatu yang boleh berubah-ubah dan pelbagai sifatnya asalkan tidak bertentangan dengan hukum syara’. Apabila keadaan memerlukan, Masiirah boleh dilakukan dan sebaliknya jika tidak patut ditinggalkan dan ia sesuai dengan keharusannya. Betapa mulianya aktiviti amar makruf nahi mungkar ini telah dijelaskan Rasulullah salallahualaihi wasalam di dalam sabdanya; “..Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya..” [HR al Hakim].
Dalam menasihati dan mengkritik dasar yang zalim, termasuk membongkar kemungkaran atau konspirasi jahat terhadap Islam adalah wajib meskipun caranya berbagai-bagai. Sama ada dilakukan secara langsung bertemu face to face, melalui penulisan, seminar dan kuliyyah seangkatan dengannya, demonstrasi aman dan lain-lain lagi. Melakukan perkara-perkara tersebut dengan cara yang dibenarkan oleh syara’ sama ada secara langsung atau tidak adalah jelas lebih mulia berbanding dengan tidak melakukan apa-apa sambil mengeji dan menghina orang lain yang bersemangat melakukannya.
Islam tidak mengenal prinsip dan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ (al-ghaayah tubarriru al wasilah), sebagaimana yang difahami masyarakat Yahudi. Tindak-tanduk seorang Muslim sebagai individu, sebagai anggota masyarakat atau sebagai penguasa wajib terikat dengan syariat Islam. Di dalam mengungkap aspirasi dengan cara berdemonstrasi, kaum Muslimin terikat dengan apa yang Rasulullah telah perkenankan iaitu demonstrasi mestilah dilakukan dengan cara yang aman.
Rujukan: Mohd Idwan Khannan – Dikemaskini (Selasa, 19 Disember 2006)
Maid Kejam: Kesian Sangat
Bila manusia hilang rasa sayang dan cinta kasih. Beginilah jadinya. blueishpinky memasukkan video ini di youtube pada 11 April 2009. Seorang pembantu rumah dengan kejam boleh memijak, menerajang, menendang seorang budak kecil yang tidak tahu apa-apa. Bila tengok budak tu terpelanting macam bola, rasa macam ???? Ar… tak mampu nak kata apa..
leave a comment