Membacalah Selalu
Algeria Ben Malik pernah berpesan kepada kita “Masyarakat tanpa idealisme adalah masyarakat yang jumud” Menilai akan kata-kata ini dalam perspektif mahasiswa, maka boleh disamakan, mahasiswa yang tidak mempunyai idealisme adalah mahasiswa yang berfikiran jumud.
Stephen Covey dalam bukunya “The Seven Habits Of Highly Effective People” mengatakan “Sebahagian besar dari perkembangan mental kita dan disiplin pengajian kita berasal dari pendidikan formal.Akan tetapi setelah meninggalkan disiplin external sekolah, kebanyakkan daripada kita membiarkan otak terhenti pertumbuhannya. Kita tidak lagi membaca secara serius, menyebabkan kita tidak berfikir secara analitis” Pendapat ini menjadi satu realiti kehidupan warga kampus Malaysia pada hari ini. Tidak perlu melihat kepada bangsa ataupun penganut agama lain, yang menyedihkan ia berlaku kepada golongan mahasiswa Islam sendiri.
Ramai berpendapat ini merupakan kelemahan yang berpunca daripada sistem pendidikan Negara kita yang lebih bercorakkan “Exam Oriented” rather than “Knowledge based oriented” akan tetapi sejauh manakah mahasiswa berusaha untuk mendominasi keadaan, dengan berusaha untuk tidak terus terperangkap dengan situasi sebegini rupa? Mahasiswa sering menyalahkan suasana, sedangkan mereka sendiri tidak bergerak untuk mengubah diri mereka sendiri terlebih dahulu. Bukti yang paling jelas untuk memperlihatkan akan kejayaan satu umat itu berpunca daripada membaca ialah seperti apa yang kita saksikan sekarang ini, iaitu keunggulan umat Kristian di barat dan juga kecemerlangan umat Buddha di Jepun. Dengan reality ini, adakah masih perlu untuk kita menyalahkan sistem “Exam Oriented” ini semata-mata? Ataupun sebenarnya kita perlu bermuhasabah kembali berapa banyakkah sudah kitab ataupun buku yang sudah habis dibaca oleh kita selama ini? Jangan dikatakan buku, malahan Kitab Al Quran dan Hadith Nabi pun sudah mula menjadi perhiasan bilik, rumah, surau dan masjid semata-mata pada masa kini. Aduhai saudaraku, bangkitlah kita dari mimpi lena kejahilan ini!
Manusia yang genius lahir daripada manusia yang rajin membaca. Ingatlah, mahasiswa yang malas membaca akan menjadi petaka kepada agama, bangsa dan Negara. Sekiranya seorang anak itu malas untuk membaca dan menuntut ilmu, jangan hairanlah sekiranya ia menderhaka kepada kedua ibu bapanya. Dalam sebuah kisah, seorang anak pernah memukul ayahnya, kemudian ayahnya mengadukan perkara itu kepada seorang ‘alim. Orang ‘alim itu menjawab: “Sudahkah anda mengajarkannya ilmu dan adab?” “Tidak”, jawab si ayah itu. Orang ‘alim tersebut menjawab “Kalau begitu, sebaiknya anda memaafkan perbuatan anak anda itu, kerana dia mengira anda seekor lembu lalu dia memukul anda!” Melalui kisah ini, digambarkan betapa seorang ayah yang jahil, boleh diumpakan seekor lembu sehingga boleh dibelasah oleh anaknya sendiri dengan sebegitu rupa…

leave a comment