Bukan memandang kecil kepada kemampuan gerakan Mahasiswa Malaysia, dalam menjadi sebuah kerajaan Mahasiswa. Pada saya, rentetan sejarah perjuangan Mahasiswa selama ini, adalah amat wajar dipuji. Taatkala melihat kepada kenyataan-kenyataan yang keluar dan terpacul dari kalangan aktivis hari ini, yang tidak mahu campur tangan politik luar dalam sebarang urusan dan isu mahasiswa.
Seperti dalam isu Adam Adli di UPSI, Mahasiswa Pendidik yang berkata bahawa “… Matlamat perjuangan mahasiswa adalah untuk mahasiswa.” Rujuk di Sini Prinsip begini banyak membataskan peranan dan fungsi gerakan mahasiswa kepada rakyat. Orang bilang, mahasiswa tidak boleh syok sendiri…
Ada perkara yang tidak memerlukan politik luar masuk campur seperti pilihanraya kampus. Namun dalam isu Adam Adli, semua sudah sedia maklum bahawa isu ini berkaitan pertembungan antara Gerakan Mahasiswa dan UMNO, bagaimanakah seorang mahasiswa boleh berkata bahawa tidak mahu politik luar campur tangan, sedangkan mahasiswa sendiri yang datang ke bangunan UMNO, berdemonstrasi dan menurunkan bendera Najib di sana?
Kita perlu faham, bahawa bangunan PWTC, adalah bangunan persendirian UMNO, yang dibina dengan duit UMNO (Tak taulah duit tu dari manakan…) bukan bangunan Kerajaan Persekutuan, seperti Putrajaya, atau pun Parlimen. Ia adalah kubu UMNO, menurunkan bendera Panglima di Kubu UMNO, adalah satu tindakan yang benar-benar mencabar kewibawaan UMNO, ia dibuat di kubu mereka… jangan kata sekejap, namun kalau kita orang UMNO, kita juga akan cakap itu biadab… haha… Contoh orang UMNO datang, pergi turunkan bendera Tuan Guru Nik Aziz di Pejabat PAS Pusat, dan gantikan dengan bendera UMNO, entah berapa versi ceramah, untaian kata yang terhasil dari para ustaz dan ustazah.
Sebenarnya tindakan Adam Adli telah menjatuhkan maruah yang cukup besar sama ada Najib mahupun Pemuda UMNO di bawah Khairi Jamaludin. Tindakan tidak sabar Armand dan Panglima-panglima ludah lain yang diupload ke dalam Youtube itu, telah meruntuhkan imej pemuda UMNO yang dibina Khairi Jamaludin selama ini. Kemasukkan 40 ulama muda dalam UMNO tidak mampu memadam aksi pemuda UMNO yang begitu jijik pada pandangan masyarakat. Statistik meningkat dengan mendadak hari demi hari dan jumlah video pelbagai versi tersebar di sana-sini. Ini adalah satu kesilapan besar yang dilakukan Armand dan kawan-kawannya, terlalu lenjan, tidak matang, memalukan, tidak berfikir panjang. Kalau Armand jadi Perdana Menteri, entah berapa ramai rakyat yang menjadi mangsa tamparan, dan ludahnya itu. Itulah akibatnya kerana terlalu “over” dalam bermain sentimen “bendera”, orang UMNO sendiri sudah marah dan menyampah dengan dia… huhu….
Pada saya, tindakan itu kena dan tepat pada masanya, di saat UMNO terdesak dihimpit dengan pelbagai isu panas, sehingga lembu-lembu pun jadi isu negara, Profesor pun mahu letak jawatan, rakyat semakin muak dan menyampah dengan UMNO, seorang pelajar datang menurunkan bendera Perdana Menteri sebagai tanda protes dan menaikkan benderanya sendiri, aksi itu cukup berseni….
Pada dasarnya, Mahasiswa tidak boleh menjadi kelompok asing dalam politik negara. “Mahasiswa adalah mahasiswa, politik adalah politik” Itu sekular namanya. Adakalanya mahasiswa perlukan campur tangan daripada parti kerajaan dan pembangkang, adakalanya itu semua tidak perlu. Sekiranya Mahasiswa ingin menjadi jentera ketiga dalam pentas politik negara, maka mereka perlu melibatkan diri dalam politik negara, dengan mempengaruhi rakyat. Kerana setiap rakyat, melainkan yang atas pagar dan tidak ambil peduli, mempunyai pegangan politiknya tersendiri, maka mahasiswa perlu bijak dalam mengatur perkara ini, dengan tidak menghentam mana-mana parti sesuka hati. Risau nanti jadi macam PERKASA, tidak mengaku UMNO, tapi orang tahu dia UMNO!
Sejauh mana Gerakan Mahasiswa tanpa politik luar? Mahasiswa akan dilabel sebagai pengacau andai tidak matang dalam melontarkan kritikan, tidak kena pada masa dan tempat. Mengatakan bahawa parti-parti politik ingin mengambil kesempatan dalam isu Adam Adli menurunkan bendera Najib, ooooww… itu kenyataan yang “Anti Klimaks”….
Mahasiswa bukan surat khabar…..
